Titik Permulaan Itu Penting

Home / TAZKIRAH / Motivasi / Titik Permulaan Itu Penting

Assalamualaikum w.r.b et Bonjour.

Tatkala kita berdepan dengan situasi yang susah atau masalah yang membuatkan fikiran buntu dalam pelajaran, pada masa itulah motivasi kita jatuh merudum. Maka akan terdetiklah “Susahnya!!” , “Apa pulak nie? Tak pernah belajar pon” atau “Sejak bila aku belajar benda nie?”. Lantas, mengidam makanan sedap hasil air tangan ibu tercinta dan perasaan ingin pulang ke Malaysia juga semakin membuak-buak. Nampaknya perasaan ‘homesick’ semakin parah.

Sesuatu yang normal jika bateri semangat dan motivasi kita yang penuh pada awal mula belajar, tiba-tiba jatuh sampai level merah (baca: lemah) apabila kita bersua dengan kebuntuan tatkala menyelesaikan soalan latihan atau ketidakfahaman ketika mengulangkaji pelajaran. Manakala, bagi seseorang yang kuat dan tabah,  kita pasti tidak akan membiarkan bateri motivasi itu kekal merah lantas kosong tanpa ‘recharge’. NEVER!

Jom kita bersama-sama tarik nafas dan menjelajah merentasi masa. Kita pulang kepada situasi dimana kita bermotivasi untuk belajar. Tanyakan pada diri, apa niat kita sebelum belajar? Adakah belajar sekadar syarat untuk menghadapi exam esok? Atau sekadar memenuhi masa lapang? Tidak kira apa pun niat itu, persoalannya, mengapa motivasi kita tidak kekal lama?

Bak kata seorang penulis lirik, bagaimana mungkin lurusnya bayang-bayang andai datangnya dari kayu yang bengkok? Begitu juga dengan motivasi kita. Bagaimana mungkin kekal mantap jika niatnya disandarkan pada sesuatu yang tidak kekal? Segala di dunia ini tidak kekal, kecuali Allah Yang Awal dan Akhir. Maka, dengan niat hanya kerana Allah sahaja, semangat dan motivasi kita akan terus mantap dan jatuhnya tak akan lama insyaAllah.

Tapi, apa yang dikatakan sebagai niat kerana Allah? Apabila niat kita kerana Allah, harapan kita agar cukuplah hanya Allah melihat dan menilai setiap amalan kita. Tidak perlu ambil peduli dengan penghargaan manusia di dunia ini yang tidak akan kekal. Selain itu, setiap kerja kita akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh kerana Allah melihat kita setiap masa. Malah, niat yang suci ini menjadikan kita menerima apa sahaja hasil kerja kita. Kerana niat kerana Allah, kita  yakin telah berusaha sehabis mampu dan sehabis cara yang mungkin dan juga percaya bahawa  itulah hasil yang setimpal.

Selain niat, perlu juga kita nilai kembali  cara yang kita gunakan dalam pembelajaran kita. Adakah tempat dan suasananya sesuai? Adakah kita perlu belajar dalam kumpulan? Perlukah sedikit manisan untuk elakkan mengantuk? Setiap orang ada cara belajar dan suasananya yang tersendiri. Maka, apabila sudah mengenal pasti cara terbaik dan suasana yang  paling ideal untuk belajar, maka berusahalah untuk itu.

Belajar juga boleh menjadi suatu ibadah jika pada niat yang betul. Malah, niat juga berperanan sebagai motivasi untuk kita terus segar dan bersemangat dalam apa tugasan sekalipun, terutamanya belajar. Bak kata orang bijak pandai, tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad. Semoga kita semua tergolong dalam golongan itu. Jadikan belajar itu sebagai suatu keperluan hidup dan bukannya semata-mata kerana peperiksaan.