TAHNIAH KEPIMPINAN BAHARU MASAF

Home / AKTIVITI / 2017 / TAHNIAH KEPIMPINAN BAHARU MASAF

Pertamanya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan kepimpinan baharu MASAF. Semoga kepimpinan baharu ini mampu mengangkat MASAF pergi lebih jauh dalam membangunkan pelajar Malaysia di Perancis. Saya percaya, mereka yang telah dipilih pada pilihan raya umum yang baru sahaja selesai ini mampu menggalas tanggungjawab dan melaksanakan peranan mereka sebaik mungkin. Kebanyakan calon yang terpilih ternyata adalah mereka yang berpengalaman dan pernah bekerja bersama MASAF sebelum ini. Jadi, saya yakin mereka ini akan memberikan sepenuh kudrat dan upaya dalam menggerakkan organisasi ini.

Diharapkan juga, dengan pucuk pimpinan ini, MASAF dan ARIF dapat terus bekerjasama dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti serta program yang bermanfaat buat seluruh rakyat Malaysia di Perancis secara umum dan golongan mahasiswa secara khusus. Saya akui, ARIF sepanjang sesi agak kurang berkolaborasi bersama MASAF. Kelemahan ini sememangnya datang dari pihak ARIF sendiri. 5 tahun selepas penubuhannya, ARIF bersama semua aktivisnya telah bersetuju untuk duduk semeja bagi menilai semula halatuju dan gerak kerja sepanjang tempoh separuh dekad itu. Hasilnya, Muktamar ARIF yang pertama telah berlangsung dengan jayanya pada Disember yang lalu. Diharap ARIF pasca-muktamar ini lebih proaktif dan mampu membawa impak berganda kepada pembangunan komuniti Malaysia di Perancis. Dengan barisan pimpinan baharu ARIF yang juga bakal diumumkan tidak lama lagi, saya meletakkan harapan yang tinggi agar visi dan misi ARIF berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

Selain berganding bahu dalam menganjurkan aktiviti berbentuk kemasyarakatan dan akademik, kewujudan ARIF dan MASAF di bumi heksagon ini saya lihat turut berperanan sebagai satu ruang untuk mencungkil bakat-bakat kepimpinan mahasiswa di sini. Jarang sekali kita dengar graduan dari Perancis memegang jawatan selaku pemimpin masyarakat baik di peringkat nasional mahupun di peringkat tempatan. Diharapkan lebih banyak produk dari bumi Perancis yang pulang ke tanah air untuk menyumbang bukan sahaja dalam dunia professional tetapi juga dalam usaha pembangunan masyarakat. Kita seharusnya merasa beruntung kerana diberi peluang untuk melihat dengan mata sendiri dan merasai pengalaman berada di bumi Eropah. Oleh itu, sudah menjadi kewajipan kita untuk meneguk apa sahaja yang jernih di sini untuk dibawa pulang dan diimplimentasikan di Malaysia. Segala yang keruh hendaklah ditinggalkan untuk dijadikan pedoman dan pengajaran.

Akhir kata, jadilah warganegara yang mempunyai jatidiri, yang bangga dengan asal-usul, jadilah warganegara yang dihormati, bukan sahaja tahap akademiknya, tetapi juga tutur kata dan sahsiahnya, jadilah warganegara yang cintakan keamanan dan perpaduan serta berhasrat menyebarkannya di pelusuk masyarakat.

TARBIAH . INSANIAH . RAHMAH

Farhan Ibrahim
Presiden ARIF France 2016/17

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *