PENGENALAN

Home / PENGENALAN

Diasaskan pada 16 September 2011, ARIF merupakan sebuah organisasi masyarakat Malaysia beragama Islam di Perancis yang berdiri di atas objektif pembangunan modal insan yang memiliki ciri keperibadian tinggi, berakhlak murni, berfikiran matang dan terbuka, berwawasan jauh serta mampu menyumbang ke arah kemajuan agama, masyarakat dan negara.
Dengan mesej utama kami; TARBIAH.INSANIAH.RAHMAH, ARIF berusaha menerapkan nilai-nilai INSANIAH kepada masyarakat melalui sistem TARBIAH yang meyuluruh dan seimbang, dengan harapan agar dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah negara RAHMAH.

TARBIAH

Tarbiah dari segi bahasa bererti pendidikan. Namun, pendidikan di sini bukan sekadar sebuah proses penurunan ilmu tetapi ia suatu bentuk kefahaman terhadap Islam daripada akal hingga ke hati yang akhirnya akan menyentuh perasaan. Kami percaya bahawa elemen tarbiah mampu mengembangkan keupayaan serta kemahiran seseorang untuk menghadapi tuntutan hidup yang pelbagai.

Setiap individu yang merasai nikmat tarbiah akan mulai meneroka keupayaan dan potensi masing-masing manakala potensi yang sedia ada bakal digilap dan dituntun ke arah yang lebih baik. Sesungguhnya, tarbiah adalah aset kita untuk ke syurga. Tambahan pula, terdapat sebuah hadith yang menggalakkan kita untuk menuntut ilmu :

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a :
أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ قَالَ:وَمَنْ سَلَكَ طَرِيْقًايَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا,سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيْقًا إِلَى الجَنَّةِ.

Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.”
Justeru, ARIF selaku persatuan pelajar dan rakyat Islam Malaysia di Perancis meletakkan kepentingan mendidik diri selaras dengan 10 Keperibadian Individu Muslim berikut :

Kami percaya setiap keperibadian di atas boleh dicapai secara efektif dan berkesan melalui Sistem Usrah. Sistem ini sudah mula diperkenalkan di peringkat lokaliti dengan nama Quranic Circle (QC), Halaqah ataupun Duduk Lepak-Lepak.

Jadi, apa tunggu lagi? Mari bersama kami dan celupkan diri anda dalam lautan tarbiah!

INSANIAH

Insaniah dari sudut bahasa bermaksud nilai kemanusiaan manakala dari sudut istilah membawa erti faktor yang mengambil kira akhlak yang baik dalam perhubungan sesama manusia. Kami yakin dengan mengetengahkan aspek insaniah dalam gerak kerja, kita akan saling menghormati dan meraikan perbezaan individu dalam membawa kebaikan kepada alam.

Sinergi yang tercipta dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat Malaysia di Perancis dalam bergerak maju ke arah negara berkhidmah. Antara salah satu usaha untuk menerapkan akhlak ini, ARIF mewujudkan Biro Pembangunan Modal Insan sebagai medium memperkasakan individu dengan membekalkan modul-modul dalam bidang yang dapat meluaskan, kapasiti sedia ada tanpa melunturkan nilai-nilai kemanusiaan yang dituntut oleh agama.

RAHMAH

Dengan berobjektifkan pembinaan modal insan yang holistik dan pengukuhan rakyat Malaysia ke arah berkeperibadian tinggi, ARIF berharap dapat melahirkan individu-individu yang bakal menjadi ‘ejen rahmah’. Berasal dari perkataan yang membawa maksud kasih sayang dan kebaikan, rahmah dianggap sebagai salah satu elemen penting agar mesej keamanan dan kesejahteraan dapat bertebaran di pelusuk dunia. Justeru, ARIF berharap agar lahir lebih ramai lagi individu-individu yang mampu menyebarkannya.

ARIF juga percaya bahawa segala inisiatif kebaikan tidak terhad kepada ahli usrah mahupun hanya kepada umat islam, bahkan segala nilai murni dari modul pentarbiahan ARIF seharusnya diterima secara langsung mahupun tidak langsung dan dirasai oleh semua individu demi membentuk suasana yang lebih inklusif dan sejahtera,seterusnya melahirkan masyarakat dan negara yang penuh dengan suasana rahmah. ARIF berhasrat untuk menjadi sebuah persatuan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di Perancis, sama ada dari aspek pendidikan, modal insan, kekeluargaan dan kebajikan.

Tuntasnya, kami yakin dan percaya bahawa melalui TARBIAH, kami dapat membina individu yang mempunyai nilai INSANIAH yang tinggi demi mencapai negara RAHMAH.