Masalah Itu Mendekatkan Kita KepadaNya

Home / TAZKIRAH / Motivasi / Masalah Itu Mendekatkan Kita KepadaNya

Assalamualaikum wbt et bonjour,

Hidup ini sangat sinonim dengan masalah. Adakala ianya adalah kecil dan adakala sangat besar. Masalah boleh timbul dari segi kesihatan, pelajaran, keluarga, kewangan, persahabatan dan banyak lagi. Ada waktu kita mampu mengatasi masalah yang hadir dan terkadang kita tersungkur rebah di lembah kekusutan yang melanda.

Setelah masalah yang hadir kita hadapi dengan jayanya, kita mampu tersenyum kepada dunia. Tetapi, ketika masalah yang kita hadapi menemui jalan buntu, habis seisi dunia kita persalahkan. Menjerit sang hati bahawa diri ini telah berusaha sehabis mungkin. Tapi, masalah tetap juga tak selesai! Sungguh tidak adil hidup ini!

Itulah sifat seorang insan, seperti firmanNya dalam surah al-Israa ayat 11:

Dan manusia (seringkali) berdoa untuk kejahatan sebagaimana dia berdoa untuk kebaikan.Dan memang manusia bersifat tergesa-gesa.

Tatkala hanya kegelapan yang kita lihat dalam menangani masalah, seumpama tiada lagi jalan keluar, barulah diri kita mendekati Allah yang Esa. Setelah sekian lama hati ini alpa, baru kita kembali ingat kepada Dia. Kerana hati kita ketika itu yakin bahawa hanya Allah Yang Maha Berkuasa mampu melapangkan kebuntuan kita.

Seperti firmanNya dalam surah al-Fussilat ayat 51:

“Dan apabila kami berikan nikmat kepada manusia, dia berpaling dan menjauhkan diri (dengan sombong), tetapi apabila ditimpa malapetaka maka dia banyak berdoa”.

Walaupun dalam kehidupan seharian kita sering khilaf dan tidak terlalu kerap dalam mengingati Allah, tapi Dialah yang Maha Mendengar tatkala kita merintih. Dialah yang Maha Memperkenankan doa tatkala kita meminta dengan setulus hati. Wah!! Begitu pemurah dan penyayang Allah ini. Malah, dalam kita alpa, tak pernah Dia meminta kita membayar setiap molekul oksigen yang disedut. Tak pernah Dia menghalau kita dari hidup di bumi ciptaanNya ini.

Betullah seperti firmanNya dalam surah an-Nahl ayat 18:

Jika kamu menghitung-menghitung nikmat Allah, niscaya kamu tidak akan dapat menentukan jumlahnya (menghitungnya). Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.

Maka, ketika kita senang, ingatlah kepada Allah yang telah mengeluarkan kita dari masalah. Kerana kesenangan itu membuatkan insan mudah alpa. Ketika masalah melanda, pintalah agar dikuatkan hati. Semoga kita berjaya mengatasinya bersama ketenangan jiwa yang tak bisa tergugat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *