Perihal Kewangan

Home / KEHIDUPAN / Perihal Kewangan

Assalamualaikum,

Topik yang akan dikongsikan pada kali ini adalah mengenai kewangan di mana ia merupakan antara topik yang hangat. Lebih-lebih lagi bila nak berangkat. Semua jadi orang kaya baru. Tapi jangan sampai lupa diri pula kerana semua ini sementara sahaja.

 
 

Secara lazimnya, pelajar MARA akan jadi dua kali lebih kaya daripada pelajar JPA. Mengapa? Kerana selalunya, pihak MARA akan bekalkan dengan bekalan duit selama 6 bulan ke hadapan. Manakala bagi pelajar tajaan JPA pula, hanya 3 bulan.


 

Bagi sesiapa yang belum tahu, MARA akan memasukkan elaun setiap bulan ke dalam akaun bank anda di Perancis. Bagi JPA pula, mereka akan memasukkan setiap 3 bulan. Maka, mengikut apa yang telah dibekalkan oleh pihak penaja,  secara logiknya, pelajar MARA boleh bertahan sehingga bulan 10 tanpa kemasukan elaun setiap bulan manakala pelajar JPA sehinga bulan 7.

Mengikut pengalaman kami semua, pelajar JPA tidak mengalami sebarang masalah elaun yang dimasukkan oleh pihak penaja. Selalu tepat pada masa. Tetapi, berbeza pula dengan pelajar tajaan MARA. Hal ini kerana, sudah beberapa batch, berlaku kelewatan kemasukan elaun tajaan. Oleh itu, anda harus berhati-hati dan berjimat cermat. Pastikan duit sewa, dan duit makan anda cukup untuk 2 bulan ke hadapan.

Jangan sesekali biarkan akaun bank anda berada dalam keadaan negatif kerana hal ini akan membuatkan anda bersekongkol dengan sistem riba’. Bijak berbelanja dan merancang insyaAllah akan membantu anda menjauhi riba’.

Namun begitu, sekiranya sikap berhati-hati dan berjimat cermat telah diambil, tetapi anda masih juga berhadapan dengan masalah akaun negatif atau untuk mengelakkan ia negatif, anda boleh merujuk senior-senior atau rakan-rakan yang ditaja JPA. InsyaAllah, akan ada jalan keluar.

Secara lazimnya kehabisan wang ini berpunca daripada keadaan “pening nak pengsan” disebabkan duit yang sangat banyak. Maka segala benda mahu diborong seperti telefon bimbit, PS3 , TV Plasma, terlalu kerap melancong, pergi ke konsert-konsert dan pelbagai lagi.

Berdasarkan pengalaman senior, terdapat dua bentuk sumber kewangan yang anda bakal terima. Samada dalam bentuk traveler’s check atau dalam bentuk tunai (euro & ringgit). Pihak MARA akan beri RM3000 khas untuk laptop.

 
Pelajar tajaan MARA akan diberi 1000 € dalam bentuk tunai dalam tangan untuk survival hidup di France sementara menunggu akaun bank dibuka. Baki wang dalam lingkungan beberapa ribu Euro akan diberi dalam bentuk traveler’s check. Tiada elaun laptop bagi pelajar tajaan JPA (CampusFrance).

Setibanya anda di France, akaun bank perlu dibuka secepat mungkin. Jangan risau, pihak universiti akan menolong anda. Sekiranya tidak, senior di tempat anda akan membantu dengan hati yang terbuka. Perkara ini berlaku saban tahun dan kedatangan anda amat dialu-alukan oleh seniors di sini.

Setelah selesai, traveler’s check boleh lah di bank in ke dalam bank untuk lebih selamat. Kebiasaannya, proses membuka akaun bank tidak melebihi 3 hari bekerja. Anda juga tidak memerlukan wang tunai yang banyak di tangan memandangkan kebanyakan kedai-kedai di Perancis menyediakan khidmat membayar menggunakan kad bank/kredit.

Rasanya setakat ini dahulu perkongsian daripada kami untuk soal kewangan. Kami amat menggalakkan anda menanyakan soalan di ruangan bawah ini. Kami atau senior yang berkunjung ke web ini akan cuba menjawab setakat mana yang termampu insyaAllah.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *