Kepulangan Dr. Akmali ke Tanah Air Setelah Hampir Sedekad Di Bumi Perancis

Home / KEHIDUPAN / Kepulangan Dr. Akmali ke Tanah Air Setelah Hampir Sedekad Di Bumi Perancis

“ Air yang kotor & tidak jernih akan hilang kecantikannya, bahkan tidak mampu memberikan sebarang refleksi. Walaupun air ada di mana-mana di atas bumi ini, kita perlu memelihara nikmat ini dengan baik, kerana sumber air sangatlah berharga “ Itulah kata-kata hikmat seorang anak Malaysia kelahiran Kuala Lumpur yang telah berjaya menamatkan pengajiannya sebagai pemegang PhD dalam bidang Kimia di Université de Franche-Comté, Besançon, France.

Tanggal 5 Oktober 2017, Dr. Akmali Mokhter telah membentangkan hasil penyelidikan tesis beliau yang bertemakan « Décontamination de l’eau polluée par des membranes modifiées par des films polymers » ( Retention of heavy metal ions from polluted solutions using functionalized membranes). Ketika ditanya oleh wakil media ARIF, Dr. Akmali berasa sangat syukur & lega dengan keputusan pembentangan vivanya.

Setelah hampir sedekad di bumi Perancis, Dr. Akmali kini dapat pulang ke tanah air bersama-sama isterinya yang juga bekas mahasiswi dalam bidang Kejuruteraan Kimia di sini. Ketika menamatkan pengajiannya di peringkat Master, beliau bertekad untuk menyambung di peringkat PhD apabila mendapat dorongan daripada supervisor ketika menjalani latihan perindustrian di institusi UTINAM di Besançon. “ Niat asal saya hanyalah sebagai latihan perindustrian di peringkat Master. Selepas mendapat cadangan oleh supervisor untuk menyambung skop tugasan di peringkat PhD, saya terus bertekad untuk menyambung pengajian dengan menjadikannya sebagai topik tesis saya. Tambahan pula, hubungan rapat dengan rakan-rakan sekerja meyakinkan saya untuk menyambung penyelidikan ini”, ulas Dr. Akmali.


Pengajian di peringkat PhD bukanlah sesuatu yang mudah & dapat dihadapi oleh semua orang, terutama sekali dalam pemilihan tajuk tesis. Dr. Akmali berpendapat bahawa tajuk tesis yang dipilih haruslah sesuai dengan minat diri dan mampu memberi motivasi untuk melakukannya. Pemilihan supervisor yang memahami dan prihatin juga amat penting dalam memastikan kelancaran proses penyelidikan. Selain itu, penulisan tesis hendaklah bermula sejak awal lagi khususnya bahagian sumber penyelidikan. “ Saya mula menulis tesis sejak awal tahun kedua pengajian PhD. Alhamdulillah, saya sempat siapkan tesis pada pertengahan tahun ketiga. Bagi saya, pengajian PhD dalam jangka masa kurang daripada tiga tahun sangat mencukupi untuk penulisan tesis.” Oleh itu, rancangan tahunan yang konkrit amat penting bagi memastikan semua tugasan dapat diselesaikan dalam jangka masa yang ditetapkan.

Sepanjang dua tahun & 10 bulan menjalani penyelidikan tesis beliau, mantan Penasihat ARIF sesi 2016/2017 ini sangat menitik beratkan hubungan sesama manusia, bahkan dengan Ilahi. Dalam kesibukan menghadapi PhD & menguruskan keluarga, Dr. Akmali sentiasa mencari masa untuk menghadiri sesi usrah sebagai salah satu sumber kekuatan pegangan agama serta sebagai salah satu alternatif untuk lebih mendekatkan diri dengan Sang Pencipta. “ Selain menjadikan usrah sebagai tempat pergantungan pada Allah, kita juga dapat meraih semangat & motivasi yang membina daripada rakan-rakan dengan berkongsi masalah dengan mereka. Tidak lupa juga, Allah yang sentiasa ada untuk kita mengadu”, tambah Dr. Akmali. Beliau turut menekankan hubungan mesra antara ahli keluarga dengan sentiasa menghubungi mereka untuk bertanya khabar & mendoakan mereka.

Di tempat kerja, Dr. Akmali sangat menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan sekerja kerana mereka merupakan insan yang paling rapat & memahami perasaaan serta kaedah kerja beliau. Selain itu, hubungan akrab dengan supervisor merupakan antara elemen berharga demi menjamin kelancaran PhD. Pada luar waktu kerja, beliau sering meluangkan masa bersama-sama dengan supervisor beliau seperti menjemput makan & bermain badminton.

Seorang yang proaktif, Dr. Akmali gemar berkongsi idea-idea baharu dengan supervisor serta mengadakan perjumpaan berkala untuk berbincang & menambah baik hasil penyelidikan. Dalam usaha memantapkan kemahiran berkomunikasi, kursus-kursus & bengkel yang berkaitan menjadi panduan utama bagi beliau untuk membina keyakinan diri apabila berhadapan dengan orang ramai dalam sesi pembentangan. Meluangkan hampir sepenuh masa penyelidikan di makmal, Dr. Akmali menasihatkan agar tidak mudah berputus asa kerana banyak tugasan memerlukan tahap kesabaran & tumpuan yang tinggi serta pengorbanan wang.

Sebelum mengakhiri sesi temu bual dengan wakil media ARIF, Dr. Akmali berpesan kepada para mahasiswa di Perancis yang ingin menyambung pelajaran di peringkat PhD untuk menetapkan niat dengan betul. Bagi beliau, pengajian PhD bukanlah sekadar untuk memperoleh gelaran Dr, tetapi lebih untuk mencari & mendalami ilmu berdasarkan hasil kajian titik peluh diri sendiri, dengan penuh kejujuran & integriti. Erti penyelidikan di peringkat PhD tidak bernilai jika hasilnya tidak dapat dimanfaatkan untuk mendidik masyarakat. “ Berbekalkan hasil kajian tesis, kita ada bukti konkrit untuk berpetah bicara & mendidik masyarakat kita”, ulas beliau. Walaupun telah tamat pengajian PhD, Dr. Akmali berasa terdapat pelbagai lagi benda yang perlu dikaji. Tambahan beliau lagi, “ Pengajian PhD itu bukanlah titik akhir kehidupan, malah terdapat ribuan lagi titik yang mendatang & harus kita teruskan.”

Pihak ARIF ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Dr. Akmali atas kejayaan beliau yang cemerlang. ARIF berharap agar Dr. Akmali akan terus sukses dalam fasa kehidupan seterusnya di Malaysia kelak nanti. Semoga kegemilangan beliau dapat memberi inspirasi yang unggul buat seluruh mahasiswa Malaysia di Perancis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *