KELEBIHAN IBADAH KORBAN

Home / Uncategorized / KELEBIHAN IBADAH KORBAN

Ibadah korban merupakan satu ibadah yang agung dan ganjaran yang disediakan amat besar bagi orang-orang yang melaksanakan ibadah ini. Ini kerana, ibadah korban merupakan sunat muakkad iaitu yang amat digalakkan untuk dilakukan bagi orang yang menepati syarat-syarat berkorban berdasarkan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (Al-Kauthar 108:2)

Berkorban merupakan salah satu ibadah yang agung sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahin AS kepada anaknya Nabi Ismail AS bagi memenuhi perintah Allah SWT. Rentetan daripada peristiwa inilah disyariatkan untuk kita melaksanakan ibadah korban. Untuk itu, di sana terdapat beberapa buah hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan berkorban.

Antaranya, daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” [Riwayat al-Tirmizi (1493)][Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai hasan gharib]

Hadith ini menunjukkan ibadah yang paling afdhal untuk dilaksanakan pada hari raya aidiladha adalah dengan menumpahkan darah korban. Ini kerana, ia akan datang pada hari akhirat sepertimana ia di dunia tanpa terdapat kekurangan padanya agar setiap daripada anggota itu terdapat padanya ganjaran (pahala) dan ia juga akan menjadi tunggangan orang yang berkorban itu ketika melintasi titian sirat. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 5/61].

Tambahan pula, di akhir hadith ini terdapat perintah agar kita membersihkan jiwa atau diri kita dengan melaksanakan ibadah ini kerana padanya disediakan ganjaran dan pahala yang cukup besar oleh Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan petunjuk dalam melaksanakan perkara-perkara ketaatan kepada Allah SWT dan seterusnya melayakkan kita untuk mendapatkan syurga Firdaus yang paling tinggi di akhirat kelak. Amin.

Wallahua’lam

Rujukan : http://muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-al-hadith/1752-irsyad-al-hadith-siri-ke-211-kelebihan-ibadah-korban

Bagi yang ingin melaksanakan ibadah Qurban, boleh hubungi MyKorban di bawah :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *