BAGAIMANA MEMBAYAR ZAKAT FITRAH DI PERANCIS?

Home / AKTIVITI / 2017 / BAGAIMANA MEMBAYAR ZAKAT FITRAH DI PERANCIS?

Ramadhan semakin tiba ke penghujungnya, anak bulan Syawal bakal menunjukkan dirinya tidak lama lagi. Bagi yang di Malaysia, pasti sedang sibuk menyediakan kelengkapan hari raya. Di sini pula, mungkin sudah ada yang merancang sambutan Hari Raya bersama komuniti Malaysia di lokaliti masing-masing. Walau di manapun kita berada, perlu diingat salah satu kewajipan utama menjelang Aidilfitri ialah zakat fitrah.

Zakat fitrah merupakan salah satu rukun Islam yang wajib disempurnakan oleh mereka yang mampu. Tempoh bayaran zakat fitrah bermula dari 1 Ramadhan sehingga pagi 1 syawal sebelum solat sunat aidilfitri ditunaikan. Kadar bayaran zakat fitrah dinyatakan dalam sepotong hadis sahih dari (Abdullah) Ibn Umar r.a.,

“Rasulullah s.a.w. telah menentukan wajibnya zakat fitrah, satu sho’ (gantang) dari buah tamar atau satu sho’ (gantang) dari sya’ir (sejenis gandum), atas tiap-tiap seorang hamba abdi atau merdeka, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau orang dewasa dari kalangan umat Islam ..”
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dua perkara dapat disimpulkan melalui hadis ini ialah:
Pertama: Benda yang dijadikan zakat fitrah ialah makanan utama penduduk sesebuah negeri. Misalnya kalau gandum bagi penduduk Madinah dan beras bagi penduduk Malaysia.

Kedua: Kadarnya ialah satu “صاع” (satu gantang menurut sukatan yang digunakan di Madinah dalam zaman nabi), bersamaan dengan 3 cupak sukatan Malaysia atau 3 kati 12 tahil. (2.250kg).

Pendapat ini dipersetujui oleh kebanyakan ulama’ termasuk Imam Syafie dan Imam Hambali.

Walaubagaimanapun, dengan perubahan masa dan zaman, kaedah pembayaran zakat telah berubah dan ulama’ membolehkan pembayaran zakat menggunakan wang. Pendapat ini dipopularkan oleh Imam Abu Hanifah berdasarkan peristiwa Muaz r.a yang diutuskan Rasulullah s.a.w untuk mengutip zakat di negeri Yaman, beliau telah meminta mereka membayar zakat dengan kain keluaran negeri itu sebagai ganti gandum, (kerana cara yang demikian katanya, bukan sahaja memberi kemudahan kepada pembayar-pembayar zakat bahkan orang-orang miskin yang berhak menerima zakat di Madinah juga memerlukan pakaian). Pendapat ini turut dipersetujui oleh Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh Zakat. Di Perancis contohnya, kadar zakat ditetapkan sebanyak 5€ seorang.

Di Malaysia, Lembaga Zakat ditugaskan untuk menguruskan pembayaran zakat dan juga pengagihan hasil zakat. Bagaimanakah caranya untuk menunaikan zakat di Perancis? Di sini kami senaraikan 3 cara untuk menunaikan zakat jika anda berhari raya di Perantaun.

1. Tabung masjid
Masjid-masjid di Perancis selalunya akan menyediakan tabung kutipan zakat. Anda boleh memasukkan nilai zakat yang anda ingin bayar ke dalam tabung tersebut. Duit ini akan diuruskan oleh pihak masjid sendiri ataupun diserahkan kepada badan kebajikan.

2. Tabung zakat di pagi hari raya
Jika anda berpeluang menunaikan solat sunat hari raya secara berjemaah, tabung atau kaunter kutipan zakat disediakan untuk para jemaah yang hadir. Imam juga akan mengingatkan para jemaah untuk menyempurnakan ibadat zakat sebelum beliau memulakan solat sunat.

3.Secara ‘online’
Ini merupakan cara termudah untuk menunaikan zakat di Perancis. Anda hanya perlu pergi ke laman web yang berkaitan dan melaksanakan pembayaran zakat secara atas talian. Antara laman web yang kami cadangkan ialah L’Union des Organisations Islamique en France (UOIF), Comité de Bienfaisance et de Secours aux Palestiniens (CBSP) dan BarakaCity.

Apa kaedah pembayaran sekalipun, yang paling utama ialah kita berjaya mencapai objektif utama ibadat zakat iaitu penyucian harta dan juga membantu mereka yang memerlukan. Semoga Allah menerima amalan kita. Selamat Hari Raya Aildilfitri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *