ASAS PENUBUHAN

Home / ASAS PENUBUHAN

1. Dalam usaha melahirkan bangsa Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang menjelang Wawasan 2020, Malaysia seharusnya mengambil kira kekuatan insaniah generasi bangsa masa hadapan sebagai pemacu kemajuan negara selain daripada kekuatan fizikal dan material. Perlaksanaan dasar dan agenda pembangunan negara menuntut kemantapan dalam segala aspek dan kepelbagaian idea, maka aset insani Malaysia sewajarnya diutamakan dan dihargai.
Warga Malaysia terutamanya golongan pelajar di Perancis adalah bakal tonggak generasi masa hadapan negara. Merekalah pemimpin harapan yang bukan sahaja pakar dalam aspek ekonomi, sains dan teknologi, bahkan juga menjadi pemimpin bangsa berpekerti mulia, mempunyai hemah yang tinggi, berjiwa besar, cintakan negara dan mempunyai kekuatan jasmani serta kekuatan rohani.
Oleh sebab itu, idea usaha membangunkan modal insan hasil cetusan mantan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi perlulah didokong oleh semua pihak dalam usaha mewujudkan Malaysia moden berteraskan bangsa yang mempunyai personaliti unggul.

2. Dalam arus kemodenan zaman sekarang dan masa hadapan, Malaysia memerlukan pemimpin muda yang berkarisma, mapan dengan ciri kepemimpinan yang dinamik, luas ilmu pengetahuan, kuat semangat survival hidup, setia dalam berkhidmat atau memberi sumbangan, dan mempunyai pendedahan dan kefahaman baik di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa.
Persatuan muslim Malaysia yang dicadangkan ini diharap dapat mendidik dan menyediakan ahlinya terutamanya golongan pelajar, cemerlang akademiknya disamping kuat pegangan agama dan tinggi budi pekertinya berdasarkan penerapan Lapan Nilai 1Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak iaitu ketabahan, penerimaan, pendidikan, integriti, meritokrasi, rendah hati, kesetiaan dan budaya kecemerlangan.

3. Kehidupan di perantauan, terutamanya di Perancis, pegangan agama dan keluhuran akhlak merupakan asas paling penting dalam mengharungi budaya hidup masyarakat Barat yang berbeza dengan nilai-nilai kehidupan dan kebudayaan masyarakat Timur, selari dengan prinsip agama dan nilai murni ketimuran yang kita junjungi berdasarkan prinsip Rukun Negara selama ini.
Tambahan pula, majoriti besar warga Malaysia beragama Islam di Perancis berharap supaya sebuah organisasi khusus untuk kumpulan muslim dapat diwujudkan agar aktiviti keagamaan dan kerohanian dapat dijalankan di bawah naungan sebuah badan yang khusus dan berasingan memandangkan persatuan pelajar sedia ada kekal dihormati sebagai sebuah organisasi yang fokus gerak kerjanya dalam isu pendidikan dan kebajikan pelajar di Perancis.

4. Organisasi ini berhasrat untuk memaparkan golongan muslim Malaysia sebagai generasi harapan negara yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang pendidikan semata-mata, bahkan kuat pegangan agamanya, terpuji peribadinya dan berwibawa ketokohannya.

2 Comments

  • anonymous

    assalamualaikum wbt. sekadar pertanyaan, ARIF ada kaitan dengan mana-mana NGO di Malaysia atau tidak? jzkk 🙂

    • Biro Media ARIF

      Wa’alaikumussalam.

      Ya, ARIF ada kaitan dengan semua NGO di Malaysia, asalkan prinsip mereka ialah sama dengan prinsip kami.

      Wallahu’alam.

Comments are closed.